SEBERANG JAYA – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang sedalam kira-kira 1.5 meter berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn di Jalan Siakap di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.10 tengah hari bagi mendapatkan bantuan mengangkat mayat berkenaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi pada jam 12.14 tengah hari dan mendapati terdapat mayat seorang lelaki di dalam longkang sedalam 1.5 meter.
“Komander operasi mengarahkan anggota dengan kelengkapan PPE lengkap menjalankan kerja mengangkat dan membawa naik mayat ke tempat selamat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, mangsa dikenal pasti sebagai Ooi Chai Siang, 37 tahun dan operasi tamat pada jam 12.47 tengah hari. – MalaysiaGazette















