Seorang juruteknik syarikat swasta Che Adam Che Hussin (kiri) sedang berbincang di luar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM35,000 di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 13 OKTOBER 2021.

SHAH ALAM – Seorang juruteknik syarikat swasta mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM35,000 sebagai dorongan menarik balik laporan polis berkaitan kes samun.

Che Adam Che Hussin dituduh melakukan perbuatan itu pada 5 September 2016, apabila memperoleh suapan daripada Aishah Abd Ghani yang memintanya menarik balik laporan polis dan tidak meneruskan pertuduhan.

Mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, beliau meminta untuk dibicarakan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 16(a) (A) Aka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh  boleh dipenjara dalam tempoh  tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu, Che Adam yang berusia 28 tahun, hadir ke mahkamah tanpa peguam bela.

Timbalan Pendakwa Raya mewakili SPRM, Mohd Zaki Mohd Salleh kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM35,000.

Namun Che Adam merayu supaya jumlah jaminannya dikurangkan kerana pendapatannya lebih kurang RM3,500 setiap bulan.

Hakim Rozilah Salleh kemudian memutuskan, RM10,000 untuk jumlah jaminan.

Rozilah berkata, kes rasuah merupakan kesalahan serius yang sebenarnya tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Namun jelasnya,  pihak pendakwa meminta mahkamah menggunakan budi bicara untuk berbuat demikian.

“Kes di bawah Akta Rasuah ini sebenarnya tidak boleh dijamin kesalahan ini sangat serius rasuah kesalahan sangat serius walau bagaimanapun timbalan pendakwa raya minta mahkamah guna budi bicara supaya kamu boleh dijamin,” katanya ketika prosiding pertuduhan.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan  hadir ke  pejabat SPRM Selangor sekali setiap awal bulan.

Dalam masa yang sama, Che Adam perlu menyerahkan passport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Sebutan kes  diadakan pada 15 November 2021 untuk serahan dokumen.-MalaysiaGazette