Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) perlu membuka siasatan penuh terhadap Kertas Pandora yang membangkitkan persoalan berkenaan aliran wang haram (IFF) keluar daripada Malaysia yang dianggarkan berjumlah USD$33.7 bilion.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan mempunyai kuasa untuk mengarahkan BNM menyiasat sepenuhnya.

“Ini bagi menunjukkan Kerajaan Malaysia tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan dan tiada percubaan menutup Kertas Pandora yang melibatkan rakyat Malaysia dan IFF.

“Malang sekali Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun terus menolak usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan isu penting ini di Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Guan Eng yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan berkata, bagi membuktikan  tidak ada yang perlu disembunyikan, siasatan yang dijalankan perlu menghukum mereka yang terlibat dalam IFF dan juga mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram keluar daripada Malaysia dan bagaimana meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Dua hari lalu, isu Kertas Pandora ditolak Dewan Rakyat selepas tiga kali Anwar mengemukakan agar ia dibahas di Parlimen.

Timbalan Speaker Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan Azhar, kerana Peraturan 43 memerlukan notis dihantar dua hari sebelumnya.- MalaysiaGazette