Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam ini akan membincangkan mengenai persiapan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dijangka membincangkan pendirian parti mengenai kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, UMNO akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam MN ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mesyuarat itu dijadual berlangsung jam 9 malam ini.

Antara yang dilihat memasuki perkarangan Menara Dato’ Onn adalah Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; ahli MKT, Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Turut dilihat hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Artikel berkaitan:

Politik Melaka bergolak apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sebelum ini mengambil langkah membubarkan DUN dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Ia dibuat setelah kerajaan yang dibina atas nama Perikatan Nasional (PN) jatuh apabila empat ADUN negeri itu menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Mereka adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Telok Emas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Baru, Datuk Norhizam Hassan Baktee. – Malaysiagazette