Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Sejarah akan tercipta sekiranya Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencalonan yang diletakkan oleh parti itu akan menjadi sejarah kedua kepada Ramli selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen sebelum ini.

 

“Ramli bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) dan menang Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands dengan majoriti besar.

“Pelantikan beliau sebagai Timbalan Speaker pasti dinanti-nanti rakyat jelata khususnya masyarakat Orang Asli,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana ingin menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu diisi selepas penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.- MalaysiaGazette