Menteri Luar Negeri, Datuk Saifudin Abdullah

KUANTAN – Malaysia telah diberi kepercayaan melalui pelantikan kali ketiga sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024 apabila berjaya meraih sebanyak 183 undi.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia menjadi ahli MHAM selepas mendapat kepercayaan menerusi pengundian sempena Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Khamis pada 14 Oktober lalu.

Tambah Saifuddin, pemilihan Malaysia ke MHAM merupakan bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha dan peranan Malaysia dalam membina kesepakatan serta menyumbang terhadap kemajuan hak asasi manusia di peringkat antrabangsa.

“Sebagai ahli MHAM, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan terutamanya kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan warga tua.

“Malaysia bercadang untuk memperkasa golongan belia terutamanya dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.

“Malaysia turut akan mengutamakan akses kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat, dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan sepertimana yang diperakui oleh MHAM baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malah di persada antarabangsa, menurut Saifuddin, Malaysia akan terus membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar.

Katanya, dalam pada masa yang sama, Malaysia juga akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

Terdahulu, Malaysia sebelum ini telah menjadi anggota MHAM sebanyak dua kali, iaitu pada 2006- 2009 dan 2010-2013 di mana Malaysia telah mengambil pendekatan yang seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia.

MHAM dianggotai oleh 47 anggota ialah badan dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  yang bertanggungjawab dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara menyeluruh. – MalaysiaGazette