Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tiada maklum balas daripada Datuk Seri Wee Ka Siong untuk membincangkan cabarannya untuk berdebat isu dasar pengecualian kabotaj, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, setakat ini masih tidak ada tindakan lanjut daripada pihak Menteri Pengangkutan itu untuk membincangkan cabarannya kepada saya untuk berdebat mengenai dasar kabotaj dan pejabatnya belum dihubungi mengenai perincian perdebatan seperti yang dijanjikan.

“Saya telah mengumumkan di Parlimen minggu lalu bahawa Ahli Parlimen DAP untuk Bangi dan bekas Timbalan Menteri MITI Dr Ong Kian Ming akan berhubung dengan pejabat Ka Siong untuk membincangkan isu logistik untuk perdebatan ini

“Dr Ong telah memberitahu saya bahawa tidak ada seorang pun daripada pejabat Wee yang menghubunginya. Saya bahkan telah mencadangkan 23 Oktober Sabtu malam sebagai masa untuk perdebatan yang dicadangkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, oleh kerana Kian Ming telah disaring positif Covid-19, Ahli Parlimen Kulai dan bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching akan menyelaraskan isu logistik untuk perdebatan itu.

“Saya berharap bahawa Ka Siong berhenti membuat serangan peribadi terhadap saya tetapi memberi maklum balas secara membina terhadap isu penting ini.

“Dalam isu ini melibatkan banyak kepentingan berbanding ego Ka Siong yang enggan mengakui bahawa dia salah sedangkan bukan hanya pembangkang tetapi rakan-rakannya sendiri dalam kerajaan turut tidak setuju dengan dasar pengecualian kabotaj. Ini bukan hanya melibatkan pelaburan RM12-15 bilion tetapi juga masa depan digital negara kita,” ujarnya.

Terdahulu, Guan Eng mempersoalkan sama ada Menteri Pengangkutan sudah menyesal mengemukakan cabarannya untuk berdebat dengannya ekoran setelah jawapan Parlimen oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan dasar pengecualian kabotaj oleh Ka Siong yang belum diselesaikan telah mengakibatkan kabel dasar laut Apricot sepanjang 12,000 kilometer tidak melibatkan Malaysia.

Menurutnya, pada 1 September lalu, syarikat teknologi gergasi Amazon Web Services (AWS), Facebook, Google dan Microsoft bersama-sama dengan Malaysia Internet Exchange (MyIX) yang bernaung di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk menukar semula dasar Ka Siong yang salah dan meminta pengecualian kabotaj untuk kerja pembaikan kabel dasar laut.

Ka Siong, dakwanya, telah menafikan keputusan Apricot untuk tidak melibatkan Malaysia adalah disebabkan keengganan Ka Siong untuk memberikan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut.

“Namun, Annuar menyatakan bahawa dasar pengecualian kabotaj yang masih belum selesai yang menyebabkan Apricot tidak melibatkan Malaysia dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pada 5 Oktober lalu,” katanya.- MalaysiaGazette