Najib Razak

KUALA LUMPUR – Permohonan Najib Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1MDB terhadap beliau dan beberapa pihak lain akan didengar pada 11 Feb depan.

Peguam yang mewakili 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai berkata, bekas Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut membenarkan permohonan 1MDB untuk menyerahkan surat kepada Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas Peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) melalui penyampaian ganti dalam saman ASD8 bilion itu.

Penyampaian ganti adalah perkhidmatan alternatif yang dibenarkan mahkamah selepas percubaan penyampaian ke diri tidak berjaya.

Peguam itu berkata, bekas Pengarah Pelaburan dan Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Vincent Beng Huat Koh memfailkan pernyataan pembelaannya dan beliau memaklumkan kepada mahkamah akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

“Beliau diberi tempoh tiga minggu untuk berbuat demikian. 1MDB mempunyai masa sebulan untuk memfailkan jawapan kepada pembelaannya,” katanya sambil menambah mahkamah menetapkan 1 Dis ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil difailkan untuk menuntut lebih ASD23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan itu.

Defendan dalam saman ini ialah Najib, Geh, Loo, Tang, Beng, Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad, bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim dan Nik Faisal. – MalaysiaGazette