Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mempersoal kenyataan salah seorang timbalan menteri kewangan di Parlimen beberapa hari lalu berkenaan pengecualian faedah terakru yang dikatakan membebankan pihak bank.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengecualian itu yang didakwa timbalan menteri itu akan menyebabkan bank menghadapi kesukaran membayar dividen kepada pelabur serta dana institusi simpanan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji juga diragui.

“Bank barangkali mengalami sedikit perbezaan keuntungan berbanding apa yang mereka forecast kerana perlu melepaskan faedah terakru tetapi tidaklah sehingga merekodkan kerugian atau menjejaskan kelangsungan operasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan timbalan menteri berkenaan.

Justeru Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan yang bank masih mencatatkan keuntungan berbilion ringgit sedangkan banyak pemain industri atau sektor lain telah dan sedang mengalami kerugian teruk akibat pandemik sehingga mengundang lambakan pengangguran.

“Pemberian moratorium bayaran balik pinjaman dengan tujuan untuk membantu mereka yang terjejas bangkit daripada kemusnahan ekonomi bukan untuk memberi peluang institusi kewangan menjana long term revenue.

“Bukan pula hari ini sektor ekonomi negara dibuka sepenuhnya, esok semua sudah pulih seperti sedia kala sebaliknya mereka yang telah terjejas akan mengambil masa untuk bangkit daripada sebuah kehancuran,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, pemberian moratorium bayaran balik pinjaman tanpa faedah terakru adalah bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia.

Ia kerana falsafah berkenaan menfokuskan aspek tiada dalam kalangan rakyat yang akan tertinggal dalam perjalanan negara pulih daripada kemusnahan ekonomi.

“Kerana itu kita tetap berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu kerajaan baharu memahami situasi yang dihadapi rakyat dan akan membantu sebaik-baiknya dalam isu faedah terakru moratorium bayaran balik pinjaman,” katanya.- MalaysiaGazette