Padi dari benih MR 210. foto FB

KUALA LUMPUR – Institut Pertanian dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menamatkan penjualan benih asas varieti padi MR 219 mulai 1 November ini.

Penamatan ini susulan daripada prestasi semasa varieti padi MR 219 yang rentan kepada serangan penyakit karah daun dan karah tangkai.

Kerentanan ini menyebabkan kehilangan hasil tuaian padi melebihi 50% yang mendorong kepada penurunan pendapatan pesawah.

Varieti MR 219 yang telah diisytihar pada tahun 2001 di Felcra Seberang Perak adalah varieti pemula berhasil tinggi (8 tan per hektar) dan telah digunakan oleh pesawah selama 10 tahun.

Namun, pada tahun 2011, varieti ini mula menunjukkan kerentanan kepada penyakit dan perosak utama serta mudah rebah dan telah tidak ditanam selepas 2011.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, varieti MR 219 telah ditanam semula kerana masih ramai petani yang meminati varieti ini sehingga menyebabkan penularan penyakit karah daun dan karah tangkai.

Dengan penamatan benih asas varieti MR 219, MARDI mengesyorkan para pengeluar benih dan pesawah menggunakan varieti padi MARDI yang telah diisytihar dan terdapat di pasaran.

Antaranya ialah Seri Waja (MR 315), MARDI Sempadan 303, MARDI Sebernas 307 dan MARDI Siraj 297. – MalaysiaGazette