Anwar Ibrahim Najib Razak Rafizi Ramli debate Sapura Energy
Datuk Seri Anwar Ibrahim

MELAKA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pihak berkuasa menyiasat isu Pandora Papers.

Jelas Anwar, langkah itu perlu diambil kerana ia melibatkan pengaliran wang berbilion ringgit.

“Perdana Menteri kata serah kepada mereka siasat, kita tidak campur. Mana boleh tak campur? Mesti arah siasatan. Mana boleh jawapan terpulang kepada pihak berkuasa, tidak boleh.

“Mesti arah, ini kes puluhan bilion wang dikeluarkan,” kata Anwar ketika berucap di hadapan ahli-ahli PKR di sebuah hotel di Melaka, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu merujuk kepada kenyataan Ismail Sabri bahawa kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa menyiasat kandungan dan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

Malah beliau memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.

Mengulangi pendiriannya, Anwar berkata, beliau bersedia untuk dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan kerjasama dalam siasatan Pandora Papers.

“Baru nak siasat dan saya akan beri kerjasama dan tunggu bila SPRM akan panggil, saya akan beri kerjasama.

“(Saya) tidak ada masalah, tapi ini soal pengaliran wang ke luar negara,” katanya.

Siasatan dipanggil ‘Pandora Papers’ itu – membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian – berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia.

Sekitar 35 pemimpin sedia ada dan bekas pemimpin yang dinyatakan dalam dokumen terkini yang dianalisis oleh ICIJ (Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan) – berdepan tuduhan termasuk rasuah, pengubahan wang haram dan mengelak cukai global. – MalaysiaGazette