PRN Melaka State Election flag
Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

MELAKA – Ada yang mahu boikot dan ada yang tidak sabar untuk keluar mengundi.

Itu antara reaksi penduduk di negeri ini sejurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Bandar Hilir dan Pantai Puteri mendapati sebilangan penduduk masih berbelah bahagi untuk keluar mengundi ekoran masih lagi risau dengan situasi semasa Covid-19.

Menurut seorang peniaga makanan yang enggan dikenali, dia bercadang untuk memboikot PRN Melaka berikutan rasa tidak puas hati dengan sikap sebahagian pemimpin politik yang dilihat lebih mementingkan survival politik berbanding survival negara daripada pandemik Covid-19.

“Pemimpin ini sekejap-sekejap tukar tapi yang menerima akibat daripada perbuatan mereka ini adalah rakyat seperti kami sehingga hilang mata pencarian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami bukan suka-suka (boikot), tapi kami sendiri sudah tidak tahu mahu pilih siapa kerana keadaan kami masih sama, susah dan tersepit ketika Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, pesara kerajaan, Sharifah Zainal, 74, berpendapat bahawa PRN Melaka kali ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan mungkin memberi kesan terhadap pilihan rakyat.

Jelas Sharifah yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor itu, dia juga bimbang sekiranya situasi PRN Sabah kembali berulang.

Sharifah Zainal. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OKTOBER 2021

“Pilihan raya patutnya kita tunggu tarikh yang sepatutnya, rasanya tidak lama lagi. Tak sampai setahun tapi ini macam tergesa-gesa, dari segi kewangan, kerajaan perlu keluar belanja, rakyat pulak masih risau dengan Covid-19,

“Kata nak jauhkan rakyat daripada bersesak-sesak elak dijangkiti tapi bila dah pilihan raya terpaksa lah mereka keluar.

“Pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali itu rakyat memang benar-benar bersedia untuk memilih dan mempunyai masa untuk berfikir mencari pimpinan sesuai, tapi dalam keadaan yang tergesa-gesa begini keadaan tidak berapa bagus, nanti rakyat pun pilih secara ala kadar sahaja, main pangkah sahaja kerana kita tidak ada peluang untuk menilai sesuatu pimpinan,” ujarnya.

Manakala seorang peniaga, Mohd Affendi Samah, 41, berkata, walaupun masih khuatir dengan situasi jangkitan Covid-19 namun dia perlu menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang pengundi kelak.

Kata Mohd Affendi, rakyat juga harus bijak memilih wakil rakyat masing-masing berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang mengemudi sesebuah kawasan.

Mohd Affendi Samah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OKTOBER 2021

“Bagi saya kita tengok apa yang mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri) telah lakukan di kawasan masing-masing, sebagai contoh macam sebelum ini, kawasan ini (Pantai Puteri) maju dan nampak perubahan, kalau kita nak sokong kita pilih mana yang terbaik.

“Pasal Covid-19 pula, memang kita risau kerana sekarang dah boleh rentas negeri dan semakin ramai pengunjung datang ke Melaka, kita pun tak tahu mengenai status kesihatan setiap orang mana tahu ada dalam kalangan mereka adalah pembawa virus, apa yang penting kena sentiasa berhati-hati dan berwaspada,” katanya.

Tambah Mohd Affendi lagi, dia berharap satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelang PRN Melaka bagi melindungi kesihatan rakyat.

Bagi seorang bekas nelayan, Wahid Ahmad, 78, walaupun usianya sudah semakin lanjut namun semangat untuk turun mengundi pada PRN kali ini masih berkobar-kobar.

Wahid Rahmat. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OKTOBER 2021

Jelas Wahid yang berasal dari Kampung Tangga Batu, jika kesihatan mengizinkan dia pasti akan keluar mengundi pada 20 November depan.

“Kerajaan suruh mengundi jadi kita keluar lah, pakcik tidak ada masalah, ikut sahaja, kita pilih lah nanti baik-baik,” katanya.

Hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menetapkan PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November.

SPR turut menetapkan 8 November depan bagi tarikh penamaan calon sementara undian awal akan dijalankan pada 16 November.

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 pengundi di 28 kerusi DUN yang akan dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast