Presiden UMNO. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berjalan keluar selepas melancarkan jentera UMNO Melaka sempena Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) ke- 15 di Masjid Tanah, Melaka. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – UMNO memberi bayangan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merupakan lokaliti panas yang akan dirampas semula parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan untuk UMNO turut merampas semula dua kerusi DUN miliknya termasuk Sungai Udang dan Pantai Kundor selepas insiden pengkhianatan dua bekas wakil rakyatnya sebelum ini.

“Saya anggap semua kawasan adalah panas dan kita akan bekerja keras di semua kawasan fokus,” katanya pada sidang media di D’Aqua Villa di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid melancarkan jentera pilihan raya UMNO Melaka bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh serta bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi amaran kepada mana-mana penganalisis politik supaya tidak mempertikaikan keupayaan UMNO untuk meletakkan calon-calonnya dalam PRN Melaka.

“Kami melihat fokus kepada calon-calon ini adalah terletak di atas kebolehmenangan kawasan-kawasan DUN itu berdasarkan saiz dan data melalui perangkaan yang diperolehi dari PRU-13 dan PRU-14.

“Unjuran yang kita buat untuk PRN Melaka. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelah di mana pendirian UMNO dan BN di dalam PRN Melaka INI,” katanya.

Katanya lagi, meskipun UMNO telah mengenalpasti kawasan fokus namun pihaknya berpegang kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“Perlembagaan UMNO menyebutkan bahawa calon-calon mana-mana pilihan raya hendaklah dibincangkan di peringkat Bahagian yang kemudiannya mengemukakan kepada kepimpinan atasan untuk ditandatangani watikah.

“Namun keputusan muktamad akan diputuskan sebelum hari penamatan calon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette