Muhammad Adib Abdul Ra'op (kiri). Foto Facebokk Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan beberapa pemain utama yang memilih untuk berhijrah di pertengahan musim memberikan hikmah kepada bakat-bakat muda Perak FC untuk menyerlahkan potensi di pentas Liga Malaysia.

Walaupun gagal memastikan tempat di Liga Super pada musim depan, sekurang-kurangnya pengalaman yang diraih dijangka mematangkan pemain-pemain muda bagi menaikkan kembali Perak pada saingan musim hadapan.

Perkara itu dikongsikan pemain sayap kiri, Muhammad Adib Abdul Ra’op yang mengakui tidak menyangka mendapat banyak minit permainan bersama Perak selepas melakukan 18 penampilan di Liga Super iaitu masing-masing sembilan kali berada kesebelasan utama dan gantian dan dua muncul di Piala Malaysia.

“Situasi yang terjadi untuk Perak musim ini ada baik dan buruknya kepada pasukan dengan kesan negatifnya ketiadaan ramai pemain senior memberikan kesan besar kepada persembahan pasukan.

“Yang baiknya pemain-pemain muda mendapat peluang keemasan untuk menunjukkan bakat serta minit permainan kerana sebelum ini agak susah untuk kami dapat peluang, kalau ada pun cuma dimasukkan di penghujung minit permainan.

“Memang pada awalnya apabila kami diturunkan, rasa takut itu ada dan bimbang jika tidak dapat diikuti corak yang dimahukan jurulatih namun lama-kelamaan hasil sokongan pemain senior yang lain, saya mula raih keyakinan.

“Azam saya dengan Perak ialah hanya mahu memastikan kami setahun sahaja di Liga Premier dan kembali di Liga Super pada 2023.

“Selain itu, saya mahu ceriakan semula penyokong Perak dengan cuba berusaha ke suku akhir Piala Malaysia selepas dengan apa yang terjadi pada musim ini,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Adib yang berusia 22 tahun, berasal dari Bagan Datuk, Perak dengan bakatnya dikesan sendiri oleh pengendali Perak, Shahril Nizam Khalil, semasa pemilihan Piala Belia pada 2017.

Sebelum itu, dia hanya aktif bermain bola sepak selepas di bangku sekolah selepas bermain secara sosial di liga peringkat daerah Teluk Intan dan tidak pernah memasuki mana-mana sekolah sukan.

Justeru, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Shahril yang mempercayai bakat yang dimilikinya apabila terus memberikan sokongan sehingga ke hari ini.

“Kalau diikutkan saya bukannya produk sekolah sukan seperti pemain lain dan hanya mula terbabit secara serius apabila berjaya menyertai skuad Piala Belia,empat tahun lepas

“Pada mulanya, saya ingat gagal untuk mendapat tempat apabila mengalami kecederaan semasa sesi pemilihan yang diadakan di Ipoh tetapi mujur jurulatih Shahril memberikan saya peluang kedua untuk sertai sesi terakhir kerana percaya dengan kemampuan saya.

“Semasa awal-awal bersama Piala Belia, saya jarang dapat peluang bermain tetapi akhirnya dia berikan ruang pada pusingan kedua untuk saya bermain dan sejak dari itu, saya semakin serius dan yakin meneruskan cita-cita dalam bola sepak.

“Dia masih selalu terus memberikan panduan dan nasihat dalam tiap perlawanan yang dilalui, dia memang banyak berjasa dalam membuka karier saya sebagai seorang pemain bola sepak profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast