Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Malaysia dengan tegas menolak kenyataan oleh Menteri Israel yang mendakwa Malaysia akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel,

Dakwaan itu dibuat semasa Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej diwawancara Erem News Isnin lalu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah menegaskan, Malaysia kekal teguh dengan komitmennya menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik ke atas Palestin.

“Sejak berdekad-dekad rakyat Palestin telah menderita akibat diskriminasi polisi, hak asas kemanusiannya telah dinafikan, kehidupan yang sukar dan rampasan tanah dan harta.

“Semua ini dan tindakan lain yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Israel, pendudukan terhadap Palestin sama dengan sifat apartheid dan jelas tidak sesuai dengan usaha keamanan dan kedamaian bersama di rantau ini,” kata beliau.

Issawi berkata, tiga buah negara iaitu Malaysia, Oman dan Tunisia, Qatar bakal menyertai Perjanjian Abraham.

Perjanjian ini dicetuskan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyaksikan empat negara menjalinkan hubungan dengan Israel pada tahun lalu iaitu Bahrain, Emriah Arab Bersatu, Maghribi dan Sudan.

Tegas Saifuddin, Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan negara Palestin yang merdeka.

Jelas beliau, sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin.

Malah, menurut beliau, Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, juga bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan oleh masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin. – MalaysiaGazette