Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Pasukan Perak mencapai kata sepakat dan persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak empat pemain import negeri itu berkuatkuasa serta-merta.

Perkara ini dikongsikan oleh pasukan itu menerusi laman media sosial rasmi pasukan itu baru-baru ini.

Empat pemain yang ditamatkan kontrak itu adalah Samir Ahmed Ayass (Lubnan), Mountala Zoubairou Garba Daniel (Cameroon-Indonesia), Ghislain Guessan (Ivory Coast) dan Nana Poku (Ghana).

“Perak ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemain tersebut yang telah bersama pasukan biarpun kelab terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik sebelum ini. Pihak kelab juga berharap khidmat para pemain tersebut akan terus ditagih kelab-kelab baharu mereka pada masa akan datang.
“Penamatan kontrak keempat-empat pemain tersebut juga dimuktamadkan setelah pihak pengurusan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan mengambil kira pelbagai aspek yang perl diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan tersebut diambil,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, pihak pengurusan kelab juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Samir, Mountala Garba, Ghislain dan juga Poku.

Dengan penamatan empat pemain import di atas, Perak FC akan meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2021 dengan baki pemain import sedia ada seperti Jad Ahmad Noureddine (Lubnan), Charles William Hew Machell (England) dan Sergio Ezequiel Aguero (Argentina) sera dibantu para pemain muda Perak yang berbakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast