Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi dilantik sebagai kapten skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bermula pada 25 Oktober ini hingga 31 Oktober depan.

Lilitan kapten itu disarungkan kepada pemain Selangor FC itu oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dua pemain pertahanan pula, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Mohd Khalili dinamakan sebagai penolong ketua pasukan.

Mereka turut diberikan suntikan semangat oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

Skuad kendalian Brad Maloney itu akan berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada malam ini dan berada dalam kumpulan J bersama Thailand, Laos dan tuan rumah, Mongolia.

Foto Facebook FAM.
Seramai 23 pemain telah dipilih termasuk tiga pemain daripada skuad senior iaitu Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Quentin Cheng (Penang FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk).

Turut tersenarai, dua pemain baharu yang dipanggil ketika kem latihan pusat Fasa 2 berlangsung iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC II) dan Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC 2).

Seorang lagi pemain yang berada dalam senarai akhir 23 pemain itu ialah pemain berpangkalan di Jerman, Annil Vigneswaran (SGV Freiberg) yang akan terus menyertai pasukan setibanya di Ulaanbaatar nanti.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober ini diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober ini dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Ketiga-tiga perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan. – MalaysiaGazette