Logo PUNB

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad menawarkan moratorium penuh ke atas prinsipal dan keuntungan kepada rakan usahawan yang layak dan tambahan diskaun sewa sebanyak 20 peratus kepada 70 peratus bagi penyewa premis perniagaan PUNB bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Penambahbaikan tersebut dibuat ke atas pelaksanaan moratorium sebelum ini yang hanya melibatkan pembayaran prinsipal dan tawaran diskaun 50 peratus bagi sewa premis perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, langkah proaktif itu diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membantu usahawan yang dalam proses pemulihan perniagaan ketika negara sedang bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Selain itu, pemberian moratorium dan penambahan diskaun sewa tersebut bagi memberikan kelegaan aliran tunai segera kepada usahawan yang mungkin menghadapi
kekangan kewangan sementara akibat pandemik Covid-19.

”Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat moratorium bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, usahawan baru, penerima pembiayaan tambahan dan syarikat yang menerima pembiayaan di bawah Skim ‘Bumiputera Relief Financing (BRF)’ dan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan COVID-19 (SPUR) secara automatik layak menerima inisiatif ini.

”Pemberian moratorium bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 ini, memberi manfaat kepada hampir 3,300 syarikat Rakan Usahawan PUNB berjumlah RM118.51 juta,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Manakala pemberian diskaun tambahan ke atas sewa premis perniagaan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM6.78 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 dengan melibatkan seramai 246 penyewa. – MalaysiaGazette