Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor Apps, Noor Neelofa Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali (kiri) bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU di antara TH Travel dan Services Sdn Bhd Dan TheNoor Apps TH Hotel Kelana Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

PETALING JAYA – TH Travel & Services Sdn Bhd memohon supaya kerajaan mengutamakan pemberian dos penggalak kepada jemaah umrah yang sebelum ini tidak mendapat vaksin yang diperakui oleh kerajaan Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, keutamaan itu dilihat perlu sekarang memandangkan kerajaan kini telah membenarkan aktiviti umrah sejak 18 Oktober lalu.

“Saya mewakili jemaah umrah mengharap sangat ada pertimbangan pihak berwajib bagi membolehkan mereka mendapatkan  dos penggalak kerana banyak pertanyaan tentang kelayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media, selepas Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) di antara TH Travel & Services Sdn Bhd dengan The Noor Apps hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU di antara TH Travel dan Services Sdn Bhd Dan TheNoor Apps TH Hotel Kelana Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

Tambah Ahmad Ruzman, meskipun kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pemberian dos penggalak kepada individu yang berisiko tinggi dan yang ingin ke luar negara namun beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM)  memperluaskan alternatif pemberian melalui klinik swasta  dengan bayaran tertentu bagi mereka yang ingin mengerjakan umrah.

“Ramai yang hendak pergi umrah bawah 60 tahun. Mungkin kerajaan ada alternatif lain dapatkan dos penggalak daripada klinik swasta tetapi dikawal selia  oleh KKM dan  kalau boleh bayar insya-Allah yang pergi umrah mampu bayar untuk dos penggalak,” tambahnya.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi memperakui vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca (AZ) sahaja bagi mereka yang mahu menunaikani ibadat umrah dan haji.

Bagi penerima vaksin jenis Sinovac seseorang itu perlu mendapatkan dos penggalak daripada vaksin Pfizer dan AZ terlebih dahulu. – MalaysiaGazette