KUALA LUMPUR –  Gabungan Malaysia (Gabung) menggesa kerajaan tidak meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau menangguhkannya.

Felo Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Yazid Othman berkata, ratifikasi CPTPP atau sebelum ini dikenali sebagai TPPA akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara ini.

Jelas beliau, ratifikasi CPTPP hanya akan mengekang peluang perniagaan industri tempatan dan memberi ruang kepada industri antarabangsa menguasai ekonomi negara.

Felo Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Yazid Othman bercakap pada sidang media khas selepas 100 NGO Melayu Kebangsaan (GABUNG) supaya kerajaan tidak Metratifikasi CPTPP di Anjung Melayu Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 OKTOBER 2021

“CPTPP tidak mendahulukan kepentingan negara tetapi kepentingan syarikat korporat antarabangsa. Lambakan barangan import yang akan berlaku. Agenda bumiputera akan dihadkan untuk memberi peluang perolehan luar negara.

“CPTPP adalah satu bentuk pengkhianatan kepada agenda Melayu Bumiputera, akan menindas industri perniagaan tempatan khususnya dalam fasa pemulihan ekonomi waktu ini yang sepatutnya kerajaan melindungi industri tempatan,” katanya ketika sidang media Gabung, hari ini.

Menganggap tindakan meratifikasikan CPTPP seperti penjajahan ekonomi, Yazid menyamakannya seperti Perjanjian Pangkor yang dimeterai Perak pada 20 Januari 1874.

“Kesimpulan kita, hanya segelintir akan  mendapat manfaat daripada kesan ini.

“CTPPP seolah-olah penjajahan ekonomi seperi Perjanjian Pangkor.  Konon akan naikkan tadbir libat urus tapi nak kaut lebih dalam negara kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Abdul Halim Husin berkata, ruang untuk peniaga Bumiputera akan semakin mengecil sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk meratifikasikan CPTPP.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (GABUNG), Abdul Halim Husin bercakap pada sidang media khas selepas 100 NGO Melayu Kebangsaan (GABUNG) supaya kerajaan tidak Metratifikasi CPTPP, di Anjung Melayu Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 OKTOBER 2021

“CPTPP ini akan merosakkan struktur ekonomi di Malaysia disebabkan sekarang ini kita telah mempunyai 60 peratus pemerolehan dan kelebihan untuk Bumiputera daripada kerajaan tapi di bawah CPTPP nanti cuma 30 peratus sahaja diberikan kepada Malaysia bukan untuk Bumiputera sahaja,” katanya.

Dalam situasi negara kini dalam peringkat pemulihan ekonomi selepas pandemik, Abdul Halim menjelaskan, ratifikasi CPTPP bukan keputusan terbaik.

Turut hadir ketika sidang media, Felo Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Azlan Awang  dan Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya.

Terbaharu, Malaysia dilaporkan berada pada landasan untuk meratifikasikan CPTPP sementara menunggu mandat daripada Kabinet.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Bahagian Rundingan Strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Arividya Arimuthu berkata, pentadbiran sekarang telah menjelaskan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar yang mesra perdagangan dan perniagaan serta terbuka kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang saling memberi manfaat.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan berkualiti tinggi yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya dan 11 negara telah memeterai perjanjian itu termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya tujuh negara, iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam sudah meratifikasi CPTPP.

CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan.-MalaysiaGazette