Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) diiringi timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup melihat pelan reka dan bina Pusat Kawalan Penyakit Negara selepas Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) dan Projek Siap KKR dan JKR di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu pasukan petugas khas (Task Force) bagi menangani projek ‘sakit’ dan lewat siap yang melibatkan klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasukan itu akan bertindak bagi mencari punca kelewatan dan permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam menyiapkan sesebuah projek tersebut.

Katanya, pasukan tersebut diketuai Ketua Setiausaha KKR, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

“Pasukan ini nanti akan melihat dari sudut keupayaan kontraktor dan aliran kewangan yang digunakan dalam membina sesuatu projek.

“Jadi, task force itu nanti akan bincang macam mana nak tangani, apa kaedah yang boleh diambil terhadap kontraktor terbabit.

“Walaupun satu tapi kita ambil serius kerana hospital merupakan keperluan bagi rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) dan Penyerahan Projek Siap Bagi Projek di Bawah Pelaksanaan KKR da KKM di, sini hari ini

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kontraktor tidak menghadapi masalah bagi menyiapkan sesuatu projek sekiranya mereka tidak menghadapi masalah kewangan.

Katanya, masalah mungkin berlaku disebabkan pembinaan sesuatu projek melibatkan reka bentuk atau kelewatan membuat keputusan atau mungkin melibatkan perkara-perkara lain.

Disebabkan itu katanya, pasukan yang ditubuhkan itu akan memperincikan segala masalah yang dihadapi supaya keputusan pembinaan dapat dibuat dengan tepat dan cepat. – MalaysiaGazette