PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM1,814 apabila terpedaya dalam urusan membeli dua utas gelang emas menerusi aplikasi Whatsapp pada Isnin lalu.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melakukan pembelian tersebut selepas melihat iklan penjualan emas pada laman Facebook.

“Pada 18 Oktober 2021, jam lebih kurang 10.30 pagi semasa pengadu berada di rumah, pengadu telah melihat iklan penjualan emas di Facebook iaitu akaun Kedai Emas 916 Amanah.

“Lalu pengadu telah berurusan melalui Whatsap dan suspek menawarkan harga sebanyak RM564 bagi dua utas gelang termasuk caj penghantaran,” katanya.

Tambah beliau, mangsa yang berusia 22 tahun membuat dua kali pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM1,814.

Bagaimanapun, mangsa yang mengesyaki ditipu apabila beliau diminta untuk membuat pindahan seterusnya membuat laporan di balai polis Rompin.

Menurut Mohd Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette