Anamg Johari Tun Openg

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggunakan analogi bola sepak untuk menjelaskan kedudukan kerajaan Sarawak sekarang susulan desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Dalam satu sidang media selepas majlis Meet in Malaysia@Sarawak hari ini, beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya kini berada dalam ‘masa kecederaan’ ekoran tamatnya tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.

“Saya ni serba salah. (Pada) waktu ini kami (kerajaan GPS) sebenarnya dalam injury time. Ada orang kata mengapa (saya) masih nak menjadi Ketua Menteri (sedangkan) mandat sudah tiada.

“Jika kita minta mandat pada rakyat (mengadakan PRN) untuk pilih lagi kerajaan, (ada pihak) kononnya (mendakwa) kita takut Undi 18 (pengundi muda). Pendiri kami jelas, kita hormat demokrasi, kita juga mahukan supaya mereka yang berumur 18 tahun dibenarkan mengundi. Bagi kami (mandat) kami dah expired (luput) … tunggu tendangan penalti sahaja lagi,” katanya dalam nada berseloroh.

Ditanya mengenai tarikh sesuai untuk PRN diadakan, Abang Johari berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya.

“Terpulang kepada SPR nak tetapkan tarikh. Kita masih di bawah tempoh darurat, kalau darurat ditamatkan, barulah perlembagaan negeri boleh dikembalikan (seperti biasa),” katanya.

Pada 31 Julai lepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan proklamasi darurat diteruskan di Sarawak sehingga sehingga 2 Feb depan susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri itu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran berkenaan.

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

— BERNAMA