Mohd Hasbie Muda

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda dilantik sebagai Ketua Pemuda Amanah Nasional menggantikan penyandang terdahulu Allahyarham Shazni Munir.

Hasbie merupakan antara pemuda yang pernah bersama Pas satu ketika dahulu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) di Terengganu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional, Syazmir Hariz Noorazalan yang menyifatkan Hasbie bukanlah seorang yang baru dalam politik, sebaliknya beliau mula bergiat aktif dalam perjuangan apabila menyertai pelbagai demonstrasi mewakili mahasiswa.

“Memandangkan beliau merupakan penuntut di Universiti Malaya, aura perjuangannya sering ditiupkan hari demi hari. Boleh diamati perjuangan dan aspirasinya sebagai mahasiswa dalam buku yang beliau sunting iaitu ‘Mahasiswa Bangkit’.

“Setelah tamat belajar beliau banyak berjuang bersama Pas dalam platform beliau sendiri iaitu sebagai penulis buku. Mana tidaknya, ketika nama Pas dipuncak apabila disokong pelbagai pihak sama ada Islam atau bukan Islam, beliau meluncurkan beberapa buku terkait dengan Pas iaitu ‘Pas dan Pilihan Raya’ serta buku ‘Kemenangan Yang Tertangguh’.

“Buku-buku yang beliau tulis dan terbitkan atas nama MLC Bookstore ini banyak membuka mata masyarakat umum yang sebelum ini jauh dari Pas.

“Kritikan dan analisis terperinci Hasbie Muda tentang prestasi Pas dalam pilihan umum khususnya PRU ke-13 merupakan teguran halus beliau agar Pas terus melakukan muhasabah dalam masa terdekat agar kekal relevan dalam politik Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Syazmir Hariz, meskipun pada PRU-14 Hasbie tewas di tangan pencabarnya namun kesediaan beliau berjuang di gelanggangnya sendiri amat wajar untuk diteladani.

“Rezeki menyebelahi beliau apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Baharin yang juga Pengerusi Amanah Terengganu.

“Kini beliau memikul amanah selaku Naib Pengerusi Amanah Terengganu…satu tugas yang amat mencabar buat beliau untuk melakukan sesuatu yang luar biasa untuk mengeluarkan rakyat Terengganu dari cengkaman politik tunggangan agama.

“Walaupun kepimpinan Pas sendiri selaku kerajaan di Terengganu telah melondehkan kedangkalan mereka memimpin namun, usaha Amanah di Terengganu tidak pernah dimalapkan,” ujarnya.

Shazni meninggal dunia pada 6 Ogos lalu selepas beberapa minggu bergelut dengan jangkitan Covid-19.

Allahyarham Shazni Munir, 34, meninggalkan seorang balu dan anak-anak yang masih kecil. – MalaysiaGazette