Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah pendirian akar umbi, tegas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Justeru beliau tidak tahu macam mana Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menjadi jurucakap UMNO dengan mendakwa keputusan itu pendirian presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan akar umbi.

“Tadi Azmin kata, yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu kononnya pendirian Presiden Zahid Hamidi bukannya pendirian akar umbi UMNO.

“Azmin ini kalau bercakap selalunya songsang dan terbalik, dalam hal ini kononnya macam dia pula yang lebih tahu apa akar umbi UMNO mahu berbanding presiden dan orang UMNO sendiri.

“Akar umbi UMNO telah buat ketetapan dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau menjawab kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR yang dilaporkan berkata, keputusan itu adalah pandangan Ahmad Zahid sebagai presiden sedangkan beliau mendapat maklumat daripada pemimpin UMNO (akar umbi) yang mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN.

Menurut Isham, UMNO tidak boleh terperangkap dengan helah Bersatu lebih lagi jika berlaku kerjasama dalam menghadapi PRN Melaka bulan depan.

“Jika kita beri kerusi kepada mereka (PPBM) dalam PRN Melaka ini, kalah atau menang mereka akan paksa kita untuk bekerjasama dalam PRU (ke-15) nanti pula dan minta kita serah kerusi lagi.

“Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini dan tergelincir di lurah yang licin atau slippery slope mereka ini.

“Jika kita menang pula, mereka akan kata ia (kemenangan) itu sebab mereka dan jika kita kalah pula mereka akan kata “kerjasama” ini kononnya perlu dikuatkan lagi untuk menang PRU pula,” katanya.

Mengenai PN mahu bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 19 kawasan Melayu, Isham berkata, formula parti itu seperti formula lintah darat atau formula Belanda minta tanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast