TAWAU – Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh dari jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut semalam, ditemukan lemas pada 8.19 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Julius John Stepen berkata pihaknya menemui mayat Mohd Alif Amuddin tersangkut di akar kayu di tepi sungai, kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Kami menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 8 pagi dan selepas beberapa minit operasi bermula, salah seorang anggota SAR ternampak mayat mangsa di pokok bambu di tepi sungai,” katanya kepada Bernama.
Menurut Julius, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Semalam dilaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.45 petang dan operasi SAR terus dijalankan sebelum ditangguhkan pada 6.06 petang.
Sementara itu bapa mangsa, Amuddin Mustapah, 40, berkata ketika kejadian mangsa bersama tiga kanak-kanak lain bermain di rumah datuknya yang berdekatan sungai.
“Namun ketika bermain saya difahamkan Alif tergelincir dari tepi jambatan dan masuk ke dalam sungai, kawan-kawannya yang melihat kejadian meminta bantuan orang ramai,” katanya sambil menahan sebak.
Sebelum kejadian, Amuddin berkata anaknya yang merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah bercakap itu meminta izin untuk bermain di rumah datuknya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka. – BERNAMA