Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah (berdiri) semasa melawat melawat HomeBois di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Industri e-sukan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam negara mempunyai nilai komersial tinggi dan mampu menjana pendapatan kepada golongan muda.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata, atas dasar itu sejak 2019 kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri e-sukan.

“Pada tiga bajet terdahulu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM45 juta bagi membangunkan industri e-sukan di Malaysia,” katanya kepada media selepas melawat HomeBois di sini hari ini yang merupakan sebahagian daripada program jelajah beliau ke negeri ini sempena Bajet 2022.

Lawatan hari ini juga untuk melihat satu lagi industri sukan baharu semakin popular dalam kalangan remaja yang dikatakan mampu menjana pendapatan lumayan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan sokongan kepada industri e- sport ini di bawah Bajet 2022 yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya juga, sepanjang 2019 hingga 2021 sebanyak RM45 juta telah disalurkan.

“Kerajaan sentiasa mengkaji dan meneroka asas kepada langkah pembaharuan di bawah fasa reformasi kepada fasa pertumbuhan ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya ekonomi bercitarasa anak-anak muda.

“Selaras objektif Rancangan Malaysia ke-12 yang dilancarkan Perdana Menteri, pembangunan industri sukan akan diperhebatkan untuk memastikan industri ini menyumbang dalam industri ekonomi baharu dalam negara kita ini.

“Sudah pasti industri sukan akan disokong kerajaan dan kami berhasrat untuk menambah baik eko sistem industri sukan dan paling utama ialah peranan kementerian kewangan melihat bagaimana usaha yang dijalankan industri terbabit agar kerajaan terua memberi galakan,” katanya.

Shahar menegaskan, kerajaan juga sentiasa menyokong asas pembaharuan yang dilakukan anak muda bagi mewujudkan persekitaran kondusif.

Beliau berkata, industri sukan e-sport merupakan satu permainan yang berkembang pesat dan diyakini mempunyai potensi amat besar.

“Kerajaan sedar sukan ini mempunyai potensi untuk kita bangunkan kerana mempunyai nilai komersial tinggi bagi menjana pendapatan anak muda di negara ini.

“Kerajaan akan memastikan sokongang sukan ini akan terus diperkasa,”katanya.- MalaysiaGazette