Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membebaskan individu yang telah dihukum dan dipenjarakan atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperuntukkan di bawah Ordinan Darurat, sekiranya ia sudah dimansuhkan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH) berkata, perkara melibatkan hukuman yang telah dijatuhkan perlu dikaji semula sebelum Ordinan Darurat dimansuhkan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan mengatakan tidak ada sesiapa boleh dilucutkan kebebasan dirinya melainkan dengan undang-undang kalau dihukum setahun atau dua tahun di penjara Ordinan Darurat diungkai dan dia disumbat di penjara ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, saya mohon menteri semak balik apa yang menteri cakap tadi di dewan ini dan saya pohon pihak pendakwaan bersetuju menggugurkan semua yang dituduh di mahkamah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) dan sesiapa yang dihukum dan berada di penjara, saya mohon dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan dan mengungkaikan Ordinan Darurat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kemudiannya Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Han Wai (PH) turut senada dengan persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul membahas dan mengungkai tujuh Ordinan Darurat yang telah dikuatkuasakan sewaktu tempoh Proklamasi Darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos lepas.

Pembentangan usul itu selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat, dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast