Pemilik premis gagal memastikan perangkap minyak berada dalam keadaan baik sehingga berlaku pencemaran.

BUKIT MERTAJAM – Sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial  dikompaun RM30,000 selepas didapati menyebabkan pencemaran dengan melepaskan sisa minyak ke dalam Sungai Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini semalam.

Selain itu, pemilik premis turut diarah menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang memasuki sungai berkenaan bagi mengawal sebarang impak pencemaran alam sekeliling yang lebih serius.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan pihaknya kelmarin mendapati terdapat kilauan minyak kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan.

Jelas beliau, pemeriksaan pada keesokan harinya pula mendapati pelepasan buangan minyak itu berpunca daripada salah sebuah premis penyelenggeraan kenderaan komersial atau lori berhampiran sungai terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati pihak premis gagal menyelenggara perangkap minyak dan pemintas minyak dengan baik.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari oleh buangan minyak yang berpunca daripada oil interceptor, kawasan penstoran buangan terjadual dan ruang pembasuhan kenderaan berat.

“Tumpahan minyak juga dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Sharifah Zakiah meminta orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/. – MalaysiaGazette