Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht berkuat kuasa 1 Disember 2021.

Peluasan ini merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk menggunakan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Thailand.

Rangka kerja yang mutakhir ini termasuk meluaskan segmen pengguna yang layak dengan mengambil kira rakyat Malaysia dan Thailand yang menetap sama ada di Thailand atau Malaysia. Rangka kerja ini turut merangkumi dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas.

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor BNM berkata, peluasan ini akan memberikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan kewangan dalam denominasi ringgit atau baht bagi individu dan juga perniagaan di kedua-dua negara.

”Melalui rangka kerja tersebut, sekarang rakyat Thailand yang menetap di Malaysia juga boleh menggunakan perkhidmatan ini. Peluasan ini akan merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor BOT, Mathee Supapongse berkata, peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang mutakhir ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia dan Thailand.

Hal ini akan memudahkan lagi transaksi kewangan merentas sempadan termasuk melalui jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dilancarkan baru-baru ini.

”Kami yakin usaha ini akan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas serta meningkatkan integrasi kewangan di rantau ASEAN,” ujarnya.

Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Malaysia dengan Thailand dilancarkan buat kali pertama pada 14 Mac 2016 sebelum diperluas pada 2 Januari 2018, selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dengan BOT yang ditandatangani pada 27 Ogos 2015.

Susulan peluasan yang terbaharu ini, BNM dan BOT juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara untuk menyertai dan terus menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang diperluas tersebut.

Secara umumnya, bank-bank yang dilantik adalah berdaya maju dan kukuh, berpengalaman dalam memudahkan penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, serta telah mempunyai hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini. – MalaysiaGazette