Lakaran artis projek rumah mampu milik di Kwasa Damansara.

KUALA LUMPUR – Kwasa Land Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Gagasan Nadi Cergas Berhad untuk membangunkan fasa pertama projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku (RSKU) jenis Idaman di Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.

Kwasa Land adalah anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Melalui kerjasama ini, dua plot kediaman berstatus pegangan bebas iaitu Plot R4-1 dan R4- 2 berkeluasan 39.12 ekar telah dikenal pasti untuk pembinaan 3,990 unit RSKU Idaman dengan Fasa 1 dijangka siap pada akhir tahun 2024.

Setiap fasa dijangka mengambil masa 36 bulan untuk dibangunkan.

Perbandaran Kwasa Damansara yang berkeluasan 2,257 ekar terletak bersebelahan dengan Kota Damansara dan terminal udara Subang SkyPark.

Perbandaran ini dijangka mampu menampung 250,000 penduduk apabila siap sepenuhnya.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md Yusof berkata, walaupun industri berhadapan dengan prospek ekonomi dan pasaran yang mencabar, permintaan untuk rumah mampu milik di kawasan bandar masih tinggi.

Menurutnya, KWSP meneruskan komitmennya untuk membangunkan Kwasa Damansara dan menyokong usaha kerajaan bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat Malaysia terutamanya dari kalangan B40 dan M40.

Ini sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menyemai nilai perpaduan and inklusiviti. Langkah ini juga selaras dengan inisiatif Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Pasca Covid-19 yang telah diumumkan pada Julai 2020.

Secara keseluruhannya, Kwasa Land akan memperuntukkan 40% daripada jumlah keseluruhan pembangunan kediamannya untuk pembinaan rumah mampu milik dengan menawarkan kawasan tanah perumahan prima kepada rakan pemaju pada nilai lebih rendah daripada harga pasaran.

Langkah ini agar kos pembangunan dapat dikurangkan dan membolehkan rakan pemaju menjual unit dengan harga yang kompetitif dan berpatutan.

Setiap unit akan mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi merangkumi keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan
RM250,000.

Setiap unit akan dilengkapi dengan kabinet dapur, almari, set televisyen sekali dengan kabinet, penyaman udara untuk semua bilik tidur, pemanas air dan peti sejuk.

Bagi meringankan masalah kesukaran mendapatkan pinjaman dan menyediakan wang pendahuluan, sebanyak 130 unit diperuntukkan kepada pembeli-pembeli yang layak menerusi Skim Smart Sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast