Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal serta data peringkat dunia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ini kerana negara sehingga kini masih belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat pengeluar vaksin Covid-19 bagi meneliti kesesuaian untuk pemberian vaksin itu kepada golongan itu.

“Setakat ini, beberapa kajian klinikal sudah dan sedang dijalankan termasuk pada September lalu, Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal fasa tiga bagi usia lima tahun hingga kurang 12 tahun.

“Vaksin ini didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tidak balas antibodi peneutralan yang kuat.

“Melalui kenyataan media Pfizer-BioNTech pada 15 Oktober lalu, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada KKM sudah atau sedang meneliti kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia 12 ke bawah dan sama ada KKM sudah mendapat maklumat berkaitan daripada pengilang vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette