Friday, April 19, 2024
Home National PRN Melaka: Menteri jangan salah guna SOP

PRN Melaka: Menteri jangan salah guna SOP

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut membabitkan Jemaah Menteri dan tidak timbul isu pilih kasih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan itu sambil mengakui perkara tersebut akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya akan bangkit perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Saya akan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan MKN dan KKM yang akan dilaksanakan SPR nanti.

“Kita tidak mengamalkan pilih kasih atau ‘double standard’, saya berharap tiap-tiap pihak (beri kerjasama), saya bercakap bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR.
“Kalau undang-undang dilaksanakan satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jaminan kerajaan tentang majlis rasmi kerajaan tidak dianjurkan oleh menteri pada kempen PRN Melaka.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, adalah tidak adil sekiranya ahli-ahli politik dari Kerajaan boleh menggunakan SOP PPN, tetapi pembangkang perlu berpandukan SOP dari SPR, yang menghalang sebarang perkumpulan atau kempen politik.
“Jadi, Menteri, mari kita berterus terang, sama ada menteri boleh beri jaminan, bila kempen berlaku selama 11 hari nanti, antara 8 hingga 20 November, apa kata Menteri Kanan Pertahanan pergi Kem Sungai Udang berkempen dengan askar.
“Mengikut Fasa 4 tak PPN salah, kerana ia majlis rasmi kerajaan. Sahabat saya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkempen dalam Program Beli Barang Buatan Malaysia. SOP PPN tak salah, SOP SPR salah tak?
“Jadi Yang Berhormat Menteri, kita tak mahu double standard dari segi pelaksanaan, kerajaan pergi kena ikut SOP MKN, kita pergi pula kena ikut SOP SPR. Ini akan timbulkan ketegangan, kemarahan sukar dikawal,” tegasnya lagi.

Kelmarin, KKM membuat ketetapan baharu yang mana sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, larangan tersebut ditetapkan meskipun SPR bakal mengumumkan SOP PRN Melaka dalam masa terdekat.
“Namun, SOP PRN hanya terpakai waktu kempen bermula. KKM risau sebelum itu ada banyak majlis politik yang tidak mematuhi SOP,” katanya dalam ciapan di Twitter. – MalaysiaGazette