Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah terhadap hidupan liar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU itu bertujuan menambah baik Akta 716 sedia ada yang tidak dapat menurunkan kadar jenayah terhadap hidupan liar dan seterusnya menyebabkan kepupusan.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi hidupan liar malah turut juga melindungi habitatnya.

“Saya yakin rang undang-undang yang dikemukakan ini akan dapat memastikan konservasi hidupan liar melalui pengawalan, pengurusan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan bagi melindungi dan memulihara hidupan liar di negara ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini

Beliau membaca RUU untuk bacaan kali kedua dan adalah kali pertama pindaan dibuat bagi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Antara pindaan yang dilaksanakan ke atas akta itu merangkumi skop perlindungan terhadap hidupan liar dengan perkembangan teknologi dan isu semasa memandangkan pada masa ini, tiada peruntukan yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.

Takiyuddin berkata, situasi ini telah menjadi faktor penggalak kepada pemburu haram mengeksploitasi hidupan liar dan menjual secara terus melalui platform media sosial dan e-dagang kepada pembeli.

Selain itu kata beliau, pindaan akta itu antara lain mencadangkan meningkatkan denda maksimum bagi kesalahan berat seperti kes melibatkan pemburuan haram hidupan liar daripada RM500,000 kepada RM1 juta serta hukuman penjara maksimum ditingkatkan dari 10 tahun kepada 15 tahun. – MalaysiaGazette