Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kebenaran beliau mendapatkan sementara pasport antarabangsanya bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Najib mempersoalkan apa maksud perbezaan layanan yang diterimanya kerana permohonan itu dibuat melalui mahkamah dan bukan daripada kerajaan.

”Saya bukan mohon pada peguam negara yang dilantik korang untuk gugurkan kes selepas perbicaraan bermula seperti kes banglo Guan Eng.

”Saya mohon pasport sementara dari mahkamah. Saya bukan mohon peguam negara tarik balik pendakwaan seperti Guan Eng,” hujah bekas perdana menteri itu.

Secara sinis Najib berkata, beliau juga bukan sengaja menarik balik tuntutan dalam mahkamah beberapa hari sebelum perbicaraan bermula sehingga Malaysia hilang Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya sebab tempoh diberi untuk semakan sudah tamat.

Sindir beliau lagi, dia bukan sengaja mengaku kalah sebelum turun ke gelanggang.

Sebaliknya, dia memohon pasport untuk ke Singapura secara sementara sahaja.

”Saya bukan hadiahkan pulau ke Singapura secara kekal.

”Itulah layanan berbeza masa kamu PM7. Atok nampak tak?,” soalnya lagi.

Najib berkata, beliau memohon mahkamah untuk mendapatkan semula pasport sementara supaya boleh melawat anaknya yang bersalin di Singapura.

Ujarnya, anaknya berada di negara itu kerana mengikut suami yang berniaga di Singapura dan dia dihalang untuk kembali ke Malaysia semasa hamil akibat peraturan-peraturan serta larangan rentas negara semasa pandemik.

”Yang benarkan pelepasan ke Singapura pada saya adalah Mahkamah Rayuan dengan keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim.

”Melalui proses mahkamah. Bukan kerajaan yang benarkan.

”Jika Atok tak puas hati, bolehlah kecam hakim-hakim mahkamah rayuan yang berpengalaman.Buatlah sidang media untuk kecam hakim-hakim, kita nak,” tambah Najib lagi.

Najib berkata, hakim-hakim yang membuat keputusan kebenaran memberi sementara pasportnya bukan hakim sivil baharu yang dilantik tanpa sebarang pengalaman kes jenayah yang tiba-tiba ditukar ke mahkamah jenayah untuk gantikan hakim bagi kes SRC International membabitnya selepas perbicaraan bermula.

”Seperti dihujah barisan peguam saya semasa rayuan mahkamah, ini adalah pertama kali dalam dunia di mana kes jenayah paling high profile dihakim oleh hakim tanpa sebarang pengalaman jenayah.

”Diganti secara tiba-tiba pula selepas perbicaraan bermula. Sehingga Tommy tulis dalam buku dia bahawa dia gembira bahawa hakim saya diganti.

”Sehingga berlakunya 307 kekhilafan dalam keputusannya semasa jatuhkan hukuman terhadap saya,” ujarnya.

Tegas Najib, inilah layanan berbeza oleh Mahathir semasa menjadi perdana menteri.

Soal beliau: ”Apa komen Atok tentang layanan ini pula?”. – MalaysiaGazette