Sweet Qismina dan Adam Lee. Foto Blackpepperproduction

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon sama cantik sama padan, Sweet Qismina dan Adam Lee merancang untuk melangkah ke alam rumahtangga pada tahun depan.

Sweet berkata, mereka telah mengikat tali pertunangan selama setahun pada hujung minggu selepas tiga tahun menyulam percintaan.

“Perancangan atau keputusan nak kahwin bila belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dulu.

“Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP (prosedur operasi standard. Jadi ini juga masa untuk kami bekerja semula,” katanya.

Ahad lalu, Sweet dan Adam melangsungkan majlis pertunangan di sebuah rumah persendirian di Ampang dihadiri 20 orang tetamu di kalangan ahli keluarga masing masing dengan mematuhi SOP

Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan berganda kemanisan kerana Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 tahun.

Masing-masing yang turut menjadi calon top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 memuat naik gambar pertunangan di Instagram.

“Ini bukan babak penggambaran drama, tapi memang kami betul betul bertunang,” pintas Artis Baharu Wanita Popular (ABPBH) 3.0 pada 2017 itu.

Pada majlis berkenaan, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Adam.

Kata calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama kekasihnya dalam drama Bidadari Salju itu majlis berkenaan sudah dirancang lama.

“Kebetulan ia terjadi ketika perang kempen ABPBH 34 sedang berlangsung. Ia jauh sekali gimik, tapi sebenarnya rezeki.

“Lagipun peminat kami sudah lama menanti ada ikatan terjalin. Begitu juga peminat dari Indonesia yang bertalu talu tanya ‘kapan’ (bila) mahu ada ikatan sah.

“Jadi ini sebagai mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.

Sementara itu, hubungan pasangan ini dikatakan mekar selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya ke ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ia juga kebetulan selepas mereka selesai penggambaran drama, Adam Chempaka. – MalaysiaGazette