Thursday, December 12, 2024
Home Sukan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari tidak ditutup

Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari tidak ditutup

Akademi Mokhtar Dahari.
KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan khabar angin bahawa Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang akan ditutup.
Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, PPBN yang dilancarkan pada 2014 dengan visi melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten itu tetap diteruskan.
“Kalau ada cerita hendak tutup NFDP itu tidak benar, kita (FAM) memang sentiasa memikirkan soal pembangunan. Pembangunan ini kita tidak akan dapat (hasil) hari ini, esok kita dapat hasilnya dan jika usaha itu sesuatu yang memang bagus kita akan teruskan.
Mohd. Saifuddin berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh lain yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Sebelum ini, timbul khabar angin terdapat segelintir individu yang cuba melobi supaya PPBN ditutup, sekali gus menimbulkan keresahan dalam komuniti bola sepak tempatan terhadap hala tuju pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Mohd. Saifuddin turut mengesahkan Skuad Projek FAM-MSN yang ditubuhkan pada penghujung 2020 tidak akan dimansuhkan.
Katanya, pasukan itu yang menamatkan kempen Liga Premier musim ini di kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu kemenangan dalam keseluruhan 20 perlawanan, akan kekal bersaing pada musim 2022 dan perkara itu turut dipersetujui MSN.
“Skuad Projek FAM-MSN memang kita tubuhkan khas untuk pemain AMD. Pemain AMD ini kalau mereka berlatih sahaja tetapi tidak ada kejohanan kompetitif, mereka tidak akan ke mana. Jadi skuad ini masih akan dikekalkan.
“Dengan adanya skuad ini, kita akan ada banyak pilihan pemain dalam persediaan kita ke arah 2024. Kita menyasarkan Olimpik 2024 dengan mempunyai banyak pilihan pemain termasuk skuad Bawah 17 Tahun (B-17) dan Bawah 23 Tahun (B-23),” katanya.
Sebanyak 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN telah dikumpulkan bagi membentuk skuad perintis Skuad Projek FAM-MSN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast