Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bercakap pada sidang media semasa menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) membentangkan Strategi Belanjawan 2022 selepas sesi libat urus sebanyak 13 kali diadakan dengan kerajaan buat pertama kali.

Sesi itu selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang mana perbincangan antara kerajaan dan pembangkang akan diadakan untuk setiap dasar yang ingin dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PH, Tony Pua berkata, Belanjawan PH 2022 adalah berorientasi kepada usaha-usaha reformasi, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Jelas beliau, ia mengandungi 12 cadangan perbelanjaan iaitu menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion berkaitan dengan Covid-19 bagi membantu rakyat.

Selain itu menurutnya, kerajaan perlu memartabatkan institusi Parlimen sebagai platform dwipartisan tulen yang berkesan, menyokong pemulihan golongan rentan, mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial.

“Cadangan lain ialah mengukuhkan perkhidmatan sosial, memastikan taraf hidup dan mobiliti yang baik, melindungi wanita dan kanak-kanak dan membuat langkah-langkah khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“Di samping itu, menerusi strategi ini, cadangan lain yang dikemukakan ialah reindustrialisation iaitu menggalakkan pelaburan bernilai tinggi; reformasi fiskal dan membuat geran-geran khas,” katanya pada sidang media pembentangan Bajet PH di Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Pua yakin cadangan bajet PH itu akan diambil kira dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022.

Kata beliau, Dokumen Strategi Belanjawan 2022 Pakatan Harapan telah disampaikan kepada pihak kementerian untuk diambil kira.

“Kita bahagi hak kepada pihak kerajaan untuk tiru semua strategi bajet yang telah disampaikan. Kita telah kemukakan cadangan-cadangan dan sebahagian besarnya juga diterima.

“Walaupun kita belum tahu tentang kaedah terperinci kita kena tunggu ucapan belanjawan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.