Pekerja asing
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan membenarkan pelarian dan pencari suaka untuk bekerja bagi mengisi kekosongan dalam pasaran buruh.

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu juga dianggarkan dapat menyumbang antara RM3 bilion hingga RM6.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, dengan 170,570 orang pelarian yang berdaftar, mereka boleh mengisi pelbagai kekosongan jawatan yang ada dalam negara.

“Keadaan ini tidak akan menafikan peluang pekerjaan orang Malaysia, tetapi boleh mengisi kekosongan jawatan yang tidak diminati orang tempatan,” katanya kepada China Press.

Artikel berkaitan:

  • Sejuta pekerja diperlukanJelasnya, dengan diberikan peluang pekerjaan secara formal, golongan pelarian juga boleh menyumbang kepada Perbendaharaan Negara melalui cukai pendapatan serta cukai jualan dan perkhidmatan.

    Beliau bagaimanapun juga bersetuju bahawa pembukaan peluang pekerjaan kepada pelarian akan menyebabkan masalah lain termasuk mendorong mereka tinggal lebih lama di Malaysia malahan penempatan semula mereka ke negera ketiga mungkin tidak diutamakan.

    Katanya, kebenaran bekerja mungkin juga mendorong lebih ramai pencari suaka untuk datang ke Malaysia.

    “Oleh itu dalam proses menukar mereka kepada pekerja sah, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar berkenaan secara tegas untuk mengelakkan kesan-kesan sampingan yang tidak diinginkan,” katanya. – MalaysiaGazette