Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Penjualan aset gas di Azerbaijan adalah sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas yang dilaksanakan secara berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang, pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Menurut beliau, langkah-langkah itu perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh buat syarikat minyak milik negara itu.

Ujar Mustapa, bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset-aset lain yang telah memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan sama ada untuk dijual atau untuk dikurangan pemilikan aset.

“Keputusan yang diambil oleh Petronas adalah bertepatan dengan strategi kumpulan itu untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan.

“Aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai salah satu aset untuk dijual atau dengan izin, candidate for exit sejak tahun 2019 lagi.

“Bagaimanapun, proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan kepada Petronas,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan.

Anwar hari ini dibenarkan membawa usul berhubung penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan berjumlah hampir RM10 bilion.

Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun memberi persetujuan itu selepas meneliti usul berkenaan.

Beliau berkata, selepas meneliti usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia merupakan kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan.

“Saya membenarkan usul ini untuk dirunding pada hari ini di kamar khas pada jam 2.30 petang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa memberitahu, penjualan aset itu juga selari dengan strategi tiga serampang Petronas iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan stepping-out atau menceburi sektor perniagaan baharu.

Justeru jelasnya, penjualan aset itu sama sekali tidak berkait secara langsung atau tidak langsung dengan keperluan untuk membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, kerajaan sekeras-kerasnya menolak andaian Yang Berhormat Port Dickson bahawa terdapat hubung kait di antara penjualan aset tersebut dengan keperluan membayar dividen.

“Saya ingin memaklumkan seterusnya bahawa Petronas telah meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku pertama tahun 2021 berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

“Prestasi ini disokong oleh pemulihan harga minyak dan gas sejak penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat. Keuntungan bersih lebih tinggi itu juga sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah yang ditanggung oleh kumpulan Petronas,” katanya.

Mustapa menambah, perkara-perkara yang diperincikan ini membuktikan bahawa penjualan aset gas di Azerbaijan tidak menjejaskan kedudukan kewangan syarikat yang boleh mengkompromi masa hadapan Petronas.

Sebaliknya jelas beliau, pelaburan dan keputusan komersial yang diambil oleh Petronas telah membantu mengimbangi cabaran dihadapi khususnya penurunan pendapatan disebabkan pelbagai faktor luar kawalan syarikat selain kekal komited dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Petronas juga sentiasa melaporkan prestasi kewangan dan operasi serta perkembangan dan pencapaian syarikat melalui laman sesawang www.petronas.com.

“Maklumat-maklumat ini boleh diakses oleh Yang Berhormat Port Dickson dan semua pihak, bertepatan dengan kredibiliti dan ketelusan Petronas sebagai syarikat minyak milik negara,” katanya. – MalaysiaGazette