Rexy Mainaky.

KUALA LUMPUR – Sebaik dilantik Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik, Rexy Mainaky, enggan mensia-siakan peluang kedua dengan melunaskan janjinya membantu Malaysia meraih emas pertama Olimpik di Paris 2024.

Rexy yang merupakan ketua jurulatih Persatuan Badminton Thailand (BAT) sejak 2017 mendedahkan program dilaksanakan BAM dalam mempersiapkan pemain untuk meraih kejayaan di Paris 2024 dan Los Angeles 2028 ketika ini menarik perhatiannya untuk menerima jawatan ditawarkan badan sukan itu sebelum ini.

“Sewaktu di Thailand saya sentiasa mengikuti perkembangan BAM yang saya fikir menawarkan program sangat bagus untuk Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

“Program yang ditawarkan BAM membuatkan saya tertarik terima tawaran ini dan oleh itu, saya mahu capai hasrat saya membantu atlet Malaysia meraih emas di Olimpik,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Youtube BAM hari ini.

Bekas jurulatih pasangan beregu negara di BAM dari 2005 sehingga 2012 itu memaklumkan tugas pertamanya sebaik melapor diri di BAM pada 1 Dis ini adalah mahu memastikan pemain dan jurulatih mempunyai satu hasrat yang sama ketika bertanding dalam kejohanan disertai selepas ini.

Rexy berkata, beliau akan berbincang bersama Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dan barisan kejurulatihan lain bagi membantunya untuk mencapai misi berkenaan.

Dalam pada itu, pakar beregu berusia 53 tahun itu sangat menghargai peluang diberikan BAM khususnya Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk beliau turut serta membangunkan sukan badminton Malaysia.

BAM dalam satu kenyataan Selasa lepas menyatakan Rexy diberikan tugas untuk menambah input teknikal kepada indeks prestasi dan akan secara khususnya menjaga pemain beregu dalam skuad kebangsaan dalam melihat dan meningkatkan lagi prestasi pemain beregu negara.

Ketika zaman kegemilangannya, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan gelaran Olimpik Atlanta 1996, selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan empat kali gelaran Piala Thomas antara 1994 dan 2000. – Bernama