M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan memansuhkan Akta Kilang dan Jentera 1967 atau Akta 139.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas undian suara majoriti.

Sebelum undian dijalankan, sesi penggulungan bagi Kementerian Sumber Manusia dilakukan oleh menterinya, Datuk Seri M Saravanan sebelum seramai 12 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU itu.

Saravanan berkata, kementerian mengambil ketetapan memasukkan peruntukan berkaitan pemeriksaan jentera yang terdapat dalam Akta 139 ke dalam cadangan pindaan RUU Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020.

“Akta 139 bertujuan mengadakan peruntukan bagi pengawalan kilang berkenaan dengan perkara yang berhubungan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang di dalamnya serta pendaftaran dan pemeriksaan jentera.

Saravanan menambah, RUU itu bertujuan meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau Akta 514 bagi menambah baik dan memantapkan lagi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

Jelasnya, objektif utama pindaan supaya meluaskan liputan pemakaian Akta 514 ke semua tempat kerja; mengintegrasikan peruntukan yang terdapat dalam Akta 139 dan Akta 514 bagi mewujudkan suatu perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang komprehensif selaras dengan perkembangan semasa.

“Pindaan ini juga untuk mencegah risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan seawal mungkin melalui kewajipan prinsipal dengan mengguna pakai prinsip pencegahan.

“Ini selaras dengan perubahan yang berlaku dalam lanskap pekerjaan, teknologi dan proses kerja.

“Selain itu, pindaan bagi melindungi kesihatan pekerja melalui perkhidmatan kesihatan pekerjaan, untuk mengambil kira saranan konvensyen antarabangsa bagi melindungi hak pekerja; mengenakan penalti yang lebih bersifat mencegah sesuatu kesalahan dilakukan, mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan,” katanya.

Saravana memberitahu, dalam menggubal pindaan kepada Akta 514, kementeriannya mengadakan pelbagai sesi libat urus sejak tahun 2011 bersama agensi kerajaan, pemegang taruh, pihak industri serta pihak berkepentingan yang lain.

RUU Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 mengandungi 55 fasal yang merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pemotongan dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada.

Antara yang dipinda kadar denda dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000 bagi kesalahan kegagalan majikan untuk membentuk dasar keselamatan dan kesihatan.

Seksyen 23 pula menaikkan denda daripada RM20,000 kepada RM200,000 bagi pihak yang melanggar peruntukan Seksyen 21 dan 22 mengenai kewajipan pengilang ke atas loji dan bahan bagi kegunaan semasa bekerja. – MalaysiaGazette