Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menawarkan enam projek perumahan mampu milik bernilai RM250,000 seunit di kawasan strategik dan membangun melalui Rumah Idaman yang akan dilancarkan bermula November depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek Rumah Idaman merupakan kerjasama kerajaan negeri dengan MGB Berhad dan LBS Bina Group, dibina khas untuk rakyat Selangor yang bekerja serta tinggal di negeri itu dan pertama kali ingin memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, keenam-enam projek akan melibatkan lima lokasi iaitu Bandar Saujana Putra, Shah Alam 2, Puchong, Cybersouth Sepang dan Bandar Puncak Alam.

“Dengan saiz seluas 1,000 kaki persegi pada harga mampu milik RM250,000, Rumah Idaman menawarkan nilai yang berpatutan bagi pemilik rumah pertama.

“Kelengkapan yang disediakan ialah tiga bilik tidur dan dua bilik air, dua ruang parkir, satu unit televisyen berserta sebuah kabinet, satu unit peti sejuk, sebuah kabinet dapur, tiga unit penyaman udara, pemanas air dalam setiap bilik air dan almari pakaian di setiap bilik tidur,” menurutnya dalam pengumuman khas berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook rasmi beliau hari ini.

Amirudin berkata maklumat lanjut projek Rumah Idaman boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.platselangor.com. – MalaysiaGazette