Penduduk Lembah Klang kini boleh menikmati perkhidmatan e-panggilan dengan lebih mudah diakses, berpatutan dan fleksibel dengan inDriver.

KUALA LUMPUR – Penduduk Lembah Klang kini boleh menikmati perkhidmatan e-panggilan dengan lebih mudah diakses, berpatutan dan fleksibel dengan inDriver.

Ketua Pegawai Operasi inDriver, Egor Fedorov berkata pelancaran perkhidmatan aplikasi tersebut di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini membuktikan komitmen teguh syarikat tersebut untuk memenuhi keperluan pasaran e-panggilan Malaysia.

“Kami amat teruja dengan pelancaran hari ini, serentak kami meneruskan perjalanan kami membawa perubahan kepada kaedah kita mengakses perkhidmatan e-panggilan di negara ini. Pengguna kami di sekitar Malaysia telah menikmati mobiliti lebih baik dengan fungsi aplikasi kami dan kami percaya pengguna perkhidmatan e-panggilan di Lembah Klang akan turut menikmatinya.

“Sementara itu, kami akan terus fokus menyediakan kebebasan pilihan kepada pengguna kami dan pada masa sama komited untuk menambah baik perkhidmatan kami dan mempertingkatkan pengalaman pengguna.

“Kami akan menambah fungsi dan perkhidmatan baru pada masa akan datang dan kami harap pengguna kami akan menantikannya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, syarikat tersebut telah mengumumkan pada 1 Oktober lalu bahawa aplikasi inDriver tersedia secara rasmi di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Aplikasi e-panggilan antarabangsa dengan lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia tersebut menggunakan fungsi Real-Time Deal (RTD) yang membenarkan penumpang menempah perjalanan pada kadar berpatutan pada bila-bila masa, dan membolehkan pemandu menerima permintaan perjalanan yang paling memudahkan dan menguntungkan kepada mereka.

Fungsi RTD aplikasi tersebut membolehkan penumpang menetapkan tambang mengikut pilihan untuk permintaan perjalanan mereka. Pemandu berdekatan akan menerima notifikasi permintaan tersebut dan mereka bebas untuk menerima tambang yang ditawarkan, melangkaui tawaran tersebut atau membuat tawaran balik untuk harga yang lebih baik.

Model RTD itu juga membebaskan pengguna inDriver daripada kenaikan harga yang disebabkan oleh waktu puncak, keadaan trafik dan sejarah permintaan.

Satu lagi kelebihan inDriver adalah pemandu tidak dipadankan dengan penumpang secara automatik. Sebaik tawaran balas diterima, penumpang boleh memilih pemandu mengikut pilihan mereka – tambang, penarafan pemandu, jangkaan waktu ketibaan atau model kenderaan.

Sementara itu, bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang, aplikasi inDriver menyediakan fungsi untuk mengkongsi lokasi GPS pengguna dan butiran perjalanan dalam waktu nyata dengan orang yang dipercayai. Aplikasi tersebut juga menyediakan butang kecemasan yang akan menghubungkan penumpang atau pemandu terus dengan pihak berkuasa pada masa kecemasan.

Pemandu yang mendaftar dengan inDriver boleh menikmati bayaran perkhidmatan sifar dalam tempoh yang terhad.

Aplikasi inDriver boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store, Apple AppStore dan Huawei AppGallery. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast