Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes harian positif jangkitan Covid-19 dalam negara pada hari ini menyaksikan kenaikan iaitu 6,377 kes setakat 12 tengahari tadi.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes setakat ini yang dilaporkan adalah sebanyak 2,454, 749 kes.

Namun kadar kesembuhan daripada wabak tersebut kekal tinggi  iaitu 6,637 kes (kumulatif 2,354, 622 kes ) berbanding kes harian dengan perbezaan 260 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 32 adalah kes import melibatkan 20 warga tempatan dan 12 warga asing.

Katanya, kes tempatan hari ini adalah sebanyak 6,345 kes iaitu membabitkan pecahan 6,011 adalah warganegara manakala 334 lagi warga asing.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 564 kes dengan 500 kes telah disahkan disahkan Covid-19 manakala selebihnya disyaki dan masih dalam siasatan.

“Manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 294 kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian jangkitan Covid-19 hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Noor Hisham menambah, daripada 6,377 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 101 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 6,276 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Jika meneliti nilai bacaan Rnaught mengikut negeri, keseluruhannya bacaan nilai Rt berada di bawah paras 1.00 iaitu 0.94.

“Bagaimanapun dua negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing mendahului negeri lain dengan merekodkan nilai Rt yang tinggi iaitu 1.00 dan 1.02.

“Namun lima lagi negeri mencatatkan bacaan nilai Rt antara 0.98 dan 0.92 iaitu Melaka, WP Putrajaya, Selangor, Sabah, dan Kedah,” katanya.

Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perlis, Terengganu, Kelantan, Perak dan Sarawak mencatatkan bacaan sekitar antara 0.89 dan 0.84.

Wilayah Persekutuan Labuan masih mengekalkan bacaan Rt sifar. – MalaysiaGazette