Pegawai penjara membuat kawalan keselamatan pada hari ke 39 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena bulan Ramadan di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang melaksanakan enam inisiatif untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam dalam Bajet 2022, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Yang pertama, menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada 4.0 kepada 2.0 peratus.

Kedua, memperuntukkan RM365 juta bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah dan meneruskan inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Ketika membentangkan Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata, skop perlindungan itu akan diperluas dengan penambahan tiga jenis perlindungan baharu merangkumi hilang upaya separa, sebahagian dan kekal, badal haji serta perbelanjaan pemulihan kecederaan disebabkan kemalangan.

Keempat, meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara.

Sebagai tambahan, elaun itu juga dipanjangkan kepada 775 pegawai kader di institusi penjara yang terlibat dalam tugas pengawasan banduan;

Kelima, meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai; dan daripada RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kenaikan ini bakal memanfaatkan hampir 10,000 PVR dan memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan atas jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, OKU dan pesakit mental. – MalaysiaGazette