Lebuhraya Pan Borneo masih dalam pembinaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2020. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar dalam perbelanjaan pembangunan iaitu RM40.2 bilion bagi meningkaykan keupayaan ekonomi dan memperkukuhkan daya saing negara.

Tumpuan diberikan kepada projek berkaitan pengangkutan perdagangan dan industri dan subsektor tenaga dan kemudahan awam.

Subsektor pengangkutan diperuntukan sebanyak RM15.5 bilion untuk pembinaan, pembaikan, penyelenggaraan infrastruktur utama seperti lebuh raya, jalan raya, landasan kereta api, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang.

Laporan Fiskal 2022 memaklumkan peruntukan ini termasuk projek sedia ada seperti Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit Rapid, Lebuhraya Pan Borneo serta menaik taraf Pelabuhan Kuantan, Pahang dan Lapangan Terbang Sandakan, Sabah.

Antara projek baharu yang akan dilaksanakan adalah menaik taraf Jalan Marabahai Spur di Tuaran, Sabah; penggantian jambatan di Sik dan Baling, Kedah dan kajian laluan alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Penerima lain di bawah sektor ekonomi adalah subsektor perdagangan dan industri dengan peruntukan RM2.1 bilion.

Antara program di bawah subsektor ini untuk memperkukuhkan kemampuan keusahawaanan termasuk perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Sejumlah RM3.2 bilion akan diperuntukkan kepada subsektor tenaga dan kemudahan awam untuk memberi akses lebih meluas kepada rakyat terutama bekalan elektrik dan air, telekomunikasi dan perkhidmatan pembetungan.

Subsektor pertanian akan diberi peruntukan sebanyak RM2.9 bilion untuk program pembangunan peneroka, pekebun kecil, penanaman semula kelapa sawit dan getah, sistem pengairan padi serta penternakan ayam, itik dan lembu yang dijangka dapat meningkatkan industri agro.

Manakala subsektor alam sekitar akan menerima diberikan sejumlah RM2.1 bilion untuk projek pemulihan sungai dan mitigasi banjir seperti pembinaan lembangan sungai bersepadu, penyelenggraan kolam takungan banjir, menaik taraf empangan dan penstabilan tebing sungai. – MalaysiaGazette