Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan berterima kasih kepada kerajaan yang meluluskan permohonannya memberikan diskaun bayaran balik pinjaman.

Katanya, ini akan dapat mengurangkan beban golongan muda dalam waktu pandemik.

Justeru Wan Saiful akan mengarahkan pegawai perbadanan tersebut untuk membuat perancangan segera bagi melaksanakan skim diskaun yang diumumkan menerusi Bajet 2022 hari ini.

“Saya sentiasa prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh para peminjam PTPTN. Insya-Allah saya akan berusaha membantu dari segi dasar-dasar yang mesra peminjam seperti skim diskaun ini.

“Persetujuan Menteri Kewangan meluluskan permintaan saya ini amat saya hargai, terutama dalam rangka kita membantu semua anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi sekarang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2022.

Ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Beliau berkata diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, langkah kerajaan dalam melindungi pekerjaan dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih merupakan tindakan yang tepat pada masanya.

“Ini akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada anak muda dan mereka yang terkesan dengan Covid-19.

“Pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat. Program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran dan lain-lain lagi adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari.

“Kita mesti beri tumpuan kepada program-program sebegini supaya kita dapat keluar dari kemelut ekonomi secara tuntas dengan cepat,” tambahnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PTPTN beri diskaun kepada peminjam

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast