Anuwal Ab Wahab

BAYAN LEPAS – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang tunai RM60,000 milik seorang lelaki tempatan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada semalam daripada mangsa berusia 54 tahun.

“Berdasarkan laporan, pengadu menyedari wang tunai miliknya yang disimpan di dalam sebuah beg galas telah hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Pengadu mengesyaki seorang lelaki warga asing yang berada dalam penerbangan sama terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat berkaitan penumpang penerbangan serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pergerakan individu yang disyaki.

“Usaha mengesan individu berkenaan sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan barangan peribadi, khususnya wang tunai serta barangan berharga, berada dalam keadaan selamat dan di bawah pengawasan ketika menggunakan pengangkutan awam termasuk semasa dalam penerbangan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here