pandemik Covid-19 memberi kesan kepada setiap isi rumah di Malaysia sama ada B40, M40 dan T20.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Tinjauan Ekonomi oleh Kementerian Kewangan mendapati pandemik Covid-19 memberi kesan kepada setiap isi rumah di Malaysia sama ada B40, M40 dan T20.

Katanya, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 (2021), sejumlah 12.8 peratus isi rumah T20 dan 20 peratus isi rumah M40 kini berada dalam kategori berpendapatan lebih rendah.

Tambah laporan itu, data menunjukkan sekitar 600,000 hingga satu juta isi rumah M40 telah tergolong dalam kelompok B40 akibat pemberhentian kerja dan potongan gaji.

Katanya, secara khusus, jika dibandingkan dengan B40, golongan M1 iaitu 10 persentil terendah isi rumah berpendapatan menengah menerima kesan yang lebih teruk sepanjang pandemik berikutan komitmen kewangan dan perbelanjaan yang tinggi.

Dalam pada itu, Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan juga mendapati walaupun pelbagai pakej bantuan dan rangsangan berjaya mengekalkan kadar pengangguran di bawah lima peratus namun terdapat kebimbangan mengenai kesan jangka masa panjang pandemik Covid-19 terhadap nyawa dan kehidupan rakyat.

Katanya, Jabatan Perangkaan melaporkan, pendapatan per kapita pada 2020 berkurang sebanyak 6.5 peratus kepada RM43,475 berbanding RM46,450 pada 2019.

Pada masa yang sama, purata gaji dan upah merosot sebanyak sembilan peratus daripada RM3,224 pada 2019 kepada RM2,933 pada 2020.

Oleh itu, kebanyakan isi rumah dalam kumpulan M40 kini tersenarai di bawah kategori B40.

Jumlah penganggur juga meningkat sebanyak 39.9 peratus daripada 508,200 orang pada 2019 kepada 711,000 pada 2020.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast